| 2 Respons Terbuka ]

Orang. Hutang. Duit. Orang hutang duit. Hutang duit orang. Menghutangkan duit orang. Meng"hutan"kan duit orang.



Tadi, aku tonton Talk Show pagi dalam ntv7. Apabila dia mengupas berita dalam akhbar hari ini, (15 April 2008), dia ada menyentuh isu penghutang hutang duit dengan JPA, si pemiutang. Ramai yang belum melunaskan hutang-hutang mereka yang dah pun jadi hutan. Dah pun tumbuh pokok-pokok herba, dah pun berbuah hasil, dah pun boleh dijadikan peneduh hidup mereka masa hadapan. Dah banyak dah pun. Semua dah dapat. Cuma, belum bayar saja. Kesian JPA, dah kurus kering pokok-pokok di tamannya. Tak cukup air, tak cukup baja. Sebab? Penghutang kata, mahu hutang saja, nanti jadi hutan, saya bayar balik la....JPA Si Pemiutang, hangguk.



Kemudiannya, mak aku mendedahkan kisah yang berkaitan dengan Sang Penghutang yang suka menghutankan duit orang tanpa bayar cukai tanah. Kata mak aku, dah bertahun-tahun dah peristiwa ni, masa aku masih belum berpindah ke rumah yang cantik ni. Aku kata, ooo, jadi sebelum aku darjah lima lah,ya.

Latar Masa : Sebelum tahun 1999
Latar Masyarakat : Masyarakat yang berhutang tapi suka tak bayar dan masyarakat pemberi hutang
Latar Tempat : Di mana masyarakat hutang tinggal, tanah tercinta, Malaysia

Kata mak aku, peristiwa ini berlaku kepada ayah aku. Pada waktu tu, ayah aku masih lagi bekerja sebagai seorang guru, di salah sebuah Sekolah Menengah Teknik di Kelantan. Nak dijadikan cerita, maka tersebutlah seorang penghutang yang ingin mencari penjamin hutang untuk anak dia, yang sedang belajar di UIA. Kira buat loan dengan kerajaan la ni. Pada asalnya, pak cik bertuah ni nak cari kawan dia, untuk menjadi penjamin. Tapi, kawan dia tak cukup syarat. Jadi, ayah aku selaku lelaki yang cukup syarat, tolonglah lelaki bertuah merangkap bekas pesara guru besar ni, walaupun belum kenal. Baguslah, tolong-menolong, budaya kita, kan?

1 tahun, 2 tahun dan seterusnya.....

Tiba-tiba, pada suatu hari, tibalah sepucuk surat ke rumah aku yang dihantar oleh posmen, sang utusan dunia moden. Tahu-tahu, itu adalah surat amaran dari JPA kepada ayah aku. Baca punya baca itu surat, maka terketahuanlah bahawa pak cik bertuah tadi tak bayar hutang anak dia. Ooo, belum bayar. Jadi, ayah aku pun sangguplah berhabis minyak kereta daripada berhabis masa depan dia dan anak-anak, pergi berjumpa pak cik yang berkenaan.

Cakap punya cakap, mak cik (Mrs Pak Cik...hehe, ok x?) pun memberitahu kepada ayah aku, ok, anak dia pun dah habis belajar, dah kerja dah pun tinggal di Klang (cisss...memburukkan nama bandar koboi saja). Nanti dia akan maklumkan kepada anaknya untuk melunaskan hutang-hutangnya. Ayah aku kata, ok.

Masa terus berlalu....

Lagi satu hari, Posmen, sang utusan setia pun hantar surat kepada ayah aku. Bukan surat bank. Bukan surat orang bayar sewa rumah sewanya. Bukan surat dan kad jemputan kahwin. Malahan, bukan surat-surat berbentuk flyers yang diedarkan oleh mana-mana pusat beli-belah yang ingin mengumumkan promosi jualan mereka. Tapi, ini surat amaran akhir dari JPA.

Ha, Mr Pakcik dan dia punya Mrs ni tak jelaskan lagi hutang mereka yang sudah jadi hutan? Hutang yang dah pun bersemak-samun, tumbuh lalang-lalang dan pokok berduri yang boleh mencederakan orang yang memasukinya? Hutan hutang yang mencederakan dan membahayakan abah aku yang secara tidak pasti masuk ke dalam hutan hujan hutang mereka. Tak cuci lagi hutan hujan hutang diorang?

Aiseh, pakcik. Nak tanam pokok, tanamlah. Nak buat hutan pun, buatlah. Tapi, cucilah. Jangan sampai luka kaki orang yang nak pergi ke rumah pakcik. Ini tidak. Sekali lagi, ayah aku terpaksa berdiskusi dengan Mr dan Mrs bekas guru besar ini.

Kemudian, tahu tahu, pak cik aku kenal sama Mrs Bekas Guru Besar ini. Nanti saya cakap dengan dia, kata pakcik aku. Tup tup, tiada perubahan. Masih sama.

Ayah aku telefon diorang. Cakap punya cakap. Diorang tak nak dengar. Ot et ot et, merengek sana, merengek sini, macam budak kecil. Banyak songeh lagi banyak ragamnya. Ooo, tak padan dengan tua, tapi degil mengalahkan budak kecil. Ooo, tak padan dengan tua, mahu ambil duit orang, tapi tak mahu bagi duit sama orang. Bagus.

Kemudian, ini adalah dialog ayah aku yang ibu aku bagitahu. (*kebanyakan dialog di atas hanyalah imaginasi aku). Kata ayah aku, Cikgu, cikgu tak mengapalah, anak semua dah besar, dah tiada yang masih belajar. Semua dah lepas dah. Kalau cikgu buat macam ni, sayalah yang susah. Nama saya yang akan disenaraihitamkan, bukan cikgu. Yang teraniaya, anak-anak saya. Dahlah belum ada seorang pun yang belajar (maksudnya, belajar kat U la tu...). Ceh, korang tahu apa Mr Cikgu Tua tu bereaksi? Sama! Tiada progression.

Akhir sekali, ayah aku kata, Oklah kalau macam tu cikgu, nanti kita jumpa di akhirat esok-esok. Kita berkira kat sanalah, ya.

Cis, sebut akhirat, baru nak bayar...tapi, alhamdulillah lah...bayar juga

"Abi Hurairah ra telah berkata: Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw menagih hutang dengan nada kasar, sehingga para sahabat merasa tersinggung. Lalu Rasulullah saw bersabda: "Tinggalkanlah dia. Sebab bagi orang yang mempunyai hak, bebas berbicara." Selanjutnya beliau bersabda: "Bayarlah hutang itu kepadanya. Sebab sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam membayar hutang." (HR: Bukhari dan Muslim)."


Uushikum faiyya ya....bayarlah hutang selagi termampu...janganlah kita suka menyusahkan orang.



"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada tamak dan bakhil dan aku berlindung dari dibebani hutang, dan dari penindasan manusia...Ameen"










*p/s:perkataan "hutan" di atas ada dua maksud. Bak kata Zarip, lu pikir la sendiri!

2 Respons Terbuka

hanifi aizat said... @ April 15, 2008 at 4:53 PM

serious aku cakap,berdenyut kepala aku memabaca post ni.Kalau boleh permudahkanlah bahasa itu.

h a r i z, H said... @ April 15, 2008 at 5:10 PM

hehe...kesian ko...maaflah ek, aku cuba nak bermain-main dgn bahasa...

Post a Comment